High Performance School

125 Years Of Excellence

Friday, April 23, 2010

Sejarah Sekolah

Sekolah Menengah Kebangsaan (P) St.George ditubuhkan pada 1884, bertempat di verandah rurnah Manse, iaitu kediaman Puan Biggs, isteri Reverend L Courtier Riggs Chaplain, Kolonial Gereja St. George. Pulau Pinang. Sekolah ini dinamakan sempenanya.

Pada tahun 1885, SMK (P) St.George telah dibina dengan rasminya di Manse bertujuan untuk memberikan pendidikan Inggeris kepada pelajar-pelajar perempuan. Sekolah ini kemudiannya dipindahkan ke sebuah bangunan yang terletak bersebelahan dengan Hotel E & 0 di Lebuh Farquhar (sekarang Jabatan Kebajikan Masyarakat). Sejak tahun 1880 hingga awal abad ke 20-an, kokurikulum yang dilaksanakan adalah lebih sesuai untuk tahap rendah. Pelajar-pelajar dilatih mengikut sistem 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira. Para pelajar yang lebih tua pula perlu bersedia mengambil Peperiksaan Tempatan Junior atau Senior Cambridge. Pada peringkat awal penubuhannya, sekolah ini dikelolakan oleh satu Lembaga Pemegang Amanah yang dilantik oleh kerajaan Inggeris. Para pelajar dikenakan yuran RM 1 dan pihak sekolah masih mengharapkan bantuan kerajaan. Sebahagian daripada sumbangan itu datangnya daripada ahli gereja St.George. Pada tahun 1909, sekolah ini telah diambil alih oleh pihak Inggeris dan diberi nama "Sekolah Perempuan Kerajaan Inggeris". Sebuah bangunan sekolah baru dibina di Jalan Northam (kini Jalan Sultan Ahmad Shah) manakala asrama masih terletak di Lebuh Farquhar. Sekolah campuran diperkenalkan pada 1916 tapi dibatalkan pada 1920. Nama sekolah kemudian ditukar kepada nama asalnya apabila sekolah dipindahkan ke Jalan Sultan Ahmad Shah. Salah satu perubahan adalah murid-murid digalakkan memakai pakaian yang lebih praktikal seperti samfoo dengan kasut getah dan bukan pakaian nyonya tradisional. Latihan jasmani dan tarian ballroom mula diajar pada 1922. Pada 1924, perpustakaan sekolah mula ditubuhkan dengan Cik Waugeh sebagai tenaga pengasasnya. Seterusnya Persatuan Bekas Pelajar ditubuhkan pada 1930. Pada 1937, pakaian seragam sekolah diperkenalkan dan pasukan permainan sekolah dilancarkan semula. Kesemuanya berjumlah 4 buah rumah, iaitu Cavell, Fry, Johnson (ditukar kepada Buss beberapa tahun kemudian) dan Nightingale. Majalah sekolah yang pertama diterbitkan pada 1938 manakala cogan kata sekolah diumum sebagai 'aut Viam Inveniam Aut Faciam' yang bermaksud `Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan'. Cogankata ini dipilih oleh Puan Parfitt, editor pertama majalah tersebut.Lembaga Pengawas Sekolah ditubuhkan pada tahun 1930. Pakaian seragam mereka adalah sama sahaja dengan yang biasa, kecuali lencana yang membezakannya. Sekolah ini kemudiannya diberhentikan sementara waktu pada zaman pemerintahan Jepun di Malaya pada tahun 1941 hingga 1945.Pada Oktober 1945, sekolah telah dibuka semula dengan ahli semakin ramai, iaitu 750 orang orang pelajar dan guru 13 guru. Pada ketika itu, sekolah masih menumpang di beberapa tempat seperti di 3 buah bangunan di Sekolah Melayu Kampung Jawa. Jalan Hutton pula menempatkan pelajar darjah 2 dan 3. Jalan Kelawai menempatkan pelajar darjah 4 hingga 6. Kemudian, sekolah dipindahkan ke Sekolah Francis Light di Jalan Perak dan kemudiannya berpindah balik ke Jalan Northam. Wang peruntukan kemudiannya disediakan untuk tapak sekolah ini di Jalan Macalister. Pada Julai 1953, batu asas sekolah ini telah sempurna diletakkan. Pada tahun 1954, SMK (P) St.George telah dibuka dengan rasminya oleh Lady Macgilivary. Pakaian seragam dengan gaun putih bertali pinggang merah mula dikuatkuasakan pada tahun 1954. Acara sukan tambahan pula dimulakan pada 1959. Pada tahun 1965, kelas Tingkatan Enam untuk kedua-dua aliran Sains dan Sastera telah berjaya dibuka di sekolah ini. Kini SMK (P) St.George telah menempa nama di persada pendidikan sebagai salah sebuah sekolah yang telah banyak memenangi anugerah dan kajayaan dalam bidang akademik,kokurikulum dan sahsiah. Sekolah ini telah mengharumkan nama Negeri Pulau Pinang dan Malaysia. Pelawat-pelawat dan ahli-ahli akademik dari negara ASEAN telah melawat sekolah ini sebagai penanda aras untuk bertukar maklumat dan pandangan demi meningkatkan lagi mutu pendidikan di serantau ASEAN. Pada tahun 2007,sekolah satu sesi mula diperkenalkan dan SMK (P) St.geroge telah dinobatkan sebagai Sekolah Cemerlang oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada bulan Mei 2008, SMK (P) St.George telah dianugerahkan gelaran Sekolah Kluster Kecemerlangan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekolah ini berharapan tinggi untuk menjadi sekolah terbilang di ASEAN menjelang 2012.